Monday, April 29, 2013

LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA KELANTAN DINAFIKAN


Hab udara bagi timur laut Malaysia: Kesibukan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, Kelantan, Malaysia. Foto: Muhd Aizat

Pengenalan:
Pertanyaan berkenaan bilakah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR), Kota Bharu, Kelantan, Malaysia akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa merupakan pertanyaan yang paling kerap ditanya oleh sebilangan besar rakyat Kelantan berbanding projek-projek infrastruktur lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur Fasa III (Kuala Terengganu - Kota Bharu - Pengkalan Kubor), Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK), Lebuh Raya Utama Tengah (CSE), Hospital Bachok (HB), projek tebatan banjir Sungai Golok, dan Pelabuhan Tok Bali (PTB).

Lokasi:
KBR terletak di sebelah timur laut Malaysia (Semenanjung Malaysia) dan dua buah lapangan terbang yang paling hampir dengannya ialah Lapangan Terbang Narathiwat (NAW), Thailand dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu (TGG), Terengganu, Malaysia. KBR berfungsi sebagai salah satu pintu keluar masuk utama Malaysia dari arah timur laut Malaysia. Lapangan terbang ini terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia melalui Jalan Tok Guru (dahulunya dikenali sebagai Jalan Pengkalan Chepa).

Politik & Lapangan Terbang:
Cadangan untuk menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa bukanlah satu cadangan baharu telah wujud sejak 1986 lagi oleh Kerajaan Pusat. Proses pengambilan tanah ratusan hektar telah dibuat oleh Kerajaan Pusat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelima (1986 - 1990) untuk menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa. Walau bagaimanapun, rancangan tersebut tidak diteruskan apabila parti yang menerajui Kerajaan Pusat, iaitu Barisan Nasional (parti UMNO sebagai komponen utama) gagal mempertahankan kuasa bagi peringkat kerajaan negeri di Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang.

Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010), landasan KBR sepatutnya dipanjangkan dari 1,981 meter kepada 3,200 meter dan bukannya setakat 2,400 meter seperti yang dilaksanakan pada penghujung penggal RMK-9 tersebut.

Menurut Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab dalam hal ehwal penerbangan yang merangkumi penerbangan awam, pembangunan lapangan terbang, perlesenan, dan sebagainya berada di bawah tanggungjawab dan peranan Kerajaan Pusat tanpa mengambil kira pihak yang menerajui sesebuah negeri itu berlainan dengan pihak yang menerajui Kerajaan Pusat. UMNO Kelantan telah menjadikan cadangan untuk menaik taraf KBR kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sebagai umpan untuk memancing undi rakyat Kelantan sedangkan UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah kalah di peringkat Kerajaan Pusat. Secara logiknya, mereka perlu meneruskan projek ini tanpa sebarang alasan kerana projek ini memang di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

Kerajaan Negeri Kelantan walaupun pihak mana yang menerajuinya tidak mempunyai apa-apa kuasa atau mengambil tindakan untuk menaik taraf lapangan terbang ini kecuali bagi proses pengambilan tanah untuk pembesaran dan naik taraf lapangan terbang. Dengan kata lain, Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai kuasa dari segi pelaksanaan projek naik taraf lapangan terbang. Paling mengejutkan apabila orang yang pernah mengaku di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN Kelantan) bahawa Kerajaan Pusat menyekat bantuan untuk rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan (Sila klik http://www.youtube.com/watch?v=MAhddRgwHeU), orang itu jugalah berkata bahawa projek naik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa akan dimulakan sebaik sahaja UMNO Kelantan berjaya mengalahkan PAS bagi menerajui Kerajaan Negeri Kelantan nanti melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRUK-13). Po ciss!

Kesimpulannya pihak yang menerajui Kerajaan Pusat pada ketika ini, iaitu UMNO (termasuk UMNO Kelantan) tidak bertanggungjawab (mati seksok, jawab dalam kubur kerana tidak berlaku adil kepada semua rakyat) dan sengaja melengah-lengahkan projek ini dan dalam masa yang sama mereka mendabik dada sebagai pembela rakyat Kelantan dengan mengatakan rakyat Kelantan tidak pernah dianaktirikan oleh Kerajaan Pusat. Secara realitinya dalam kehidupan sebuah keluarga campuran, sebagai anak tiri memang kita dapat makan juga masakan emak tiri tetapi dalam bab-bab kasih sayang, mungkin emak tiri kita lebih sayangkan adik-beradik tiri kita. Jika setakat bagi peruntukan sekian-sekian jumlahnya tetapi negeri-negeri lain mendapat peruntukan lagi besar walaupun negeri tersebut tidak memerlukan peruntukan sebesar itu, itu namanya tidak menganaktirikan?

Keperluan Naik Taraf Lapangan Terbang:
 KBR berjaya mencatatkan jumlah pengendalian penumpang melebihi 1,000,000 penumpang setahun sejak 2009 dan jumlah pengendalian penumpang bertambah dengan begitu ketara setiap tahun sehingga 'memaksa' syarikat penerbangan terutamanya Firefly dan AirAsia menambah kekerapan penerbangan serta memperkenalkan laluan baharu terutamanya laluan Kota Bharu - Johor Bahru (mulai 26 April 2012) dan laluan Kota Bharu - Singapura (mulai 10 Ogos 2012). Berikut merupakan komponen-komponen naik taraf lapangan terbang ini mengikut keutamaan (Nota: No. 1 paling utama dan seterusnya):-
  1. Landasan perlu dipanjangkan dan dilebarkan dari 2,400 meter x 45 meter kepada 3,500 meter x 60 meter bagi mengendalikan pesawat lebih besar terutamanya A330-300, B777-200, dan B747-400 sekali gus dapat mengadakan penerbangan haji terus ke Jeddah dan Madinah sepertimana yang disarankan oleh KDYMM Tuanku Muhammad V baru-baru ini semasa sambutan hari keputeraan rasmi baginda (11 - 12 November 2012). 
  2. Pembesaran bangunan terminal sedia ada untuk keselesaan pengguna lapangan terbang. Tapak dan bangunan terminal lama boleh dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran terminal. Keluasan terminal sedia ada adalah 12,000 meter persegi. 
  3. Menara kawalan baharu yang lebih tinggi di tapak balai bomba lapangan terbang yang sedia ada sekarang. Manakala balai bomba lapangan terbang boleh dipindahkan ke kawasan radar lapangan terbang ini atau dengan kata lain di seberang landasan berhampiran Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK).
Bilakah ia akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa? Jawapannya lambat lagi selagi UMNO dan Barisan Nasional masih menerajui Kerajaan Pusat. Hal ini kerana walaupun mereka sekarang berkuasa di peringkat Kerajaan Pusat, mereka tidak mahu menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sedangkan perkara ini memang tanggungjawab Kerajaan Pusat. Jadi, rakyat perlu memberi peluang kepada orang lain pula untuk menerajui Kerajaan Pusat nanti.

Syarikat penerbangan manakah yang beroperasi di lapangan terbang ini? 
  1. AirAsia (www.airasia.com): Laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur
  2. Firefly (www.fireflyz.com.my): Laluan Kota Bharu - Singapura, Kota Bharu - Subang, Kota Bharu - Pulau Pinang, dan Kota Bharu - Johor Bahru.
  3. Penerbangan Malaysia (www.malaysiaairlines.com): Laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur.

#Nota ini ditulis oleh Ketua Pentadbir KBBRI, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia

No comments:

Post a Comment