KENYATAAN MEDIA OLEH GERAKAN BERTINDAK KEMBALIKAN ROYALTI RAKYAT (GEGAR)
Mengapa Kerajaan Persekutuan Mesti Mengembalikan Royalti kepada Kerajaan Negeri?
Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR) adalah
badan NGO yang dilancarkan pada awal bulan ini untuk mencetuskan
kesedaran rakyat dan menuntut kerajaan mengembalikan royalti minyak
kepada rakyat yang berhak.
GEGAR mendesak Kerajaan Malaysia untuk segera
menunaikan janji dan tanggungjawabnya untuk membayar wang tunai kepada
kerajaan di negeri-negeri dari mana minyak telah dikeluarkan untuk
kebaikan dan manfaat rakyatnya.
Hujah
utama mengapa kerajaan mesti mengembalikan wang royalti kepada negeri
ialah komitmen kerajaan sendiri seperti mana yang telah disebut oleh
Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak pada 12 Disember 1975 di Parlimen
bahawa kerajaan telah bersetuju untuk membayar wang tunai tersebut
kepada negeri.
Selain itu, perjanjian telah dibuat pada 1975 antara Menteri-menteri Besar Semenanjung dengan Pengerusi PETRONAS untuk memberi 5% royaltI kepada negeri. Dan berdasarkan niat dan amalan, Petronas telahpun membayar kepada kerajaan negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak.
Pengeluaran
minyak adalah dalam perairan Kelantan berdasarkan pada takrifan kawasan
perairan negeri seperti mana perjanjian UNCLOS 3 (United Nations Convention on the Law of the Sea)
1982 yang ditandatangani oleh Malaysia, yang menetapkan negeri
mempunyai hak zon eksklusif ekonomi menjangkau jarak 200 batu nautikal.
Pernyataan
yang menyatakan jarak tiga batu nautikal adalah mengelirukan kerana
Akta Dharurat yang digubal pada tahun 1969 adalah khusus dan ketika itu
Akta Kemajuan Petroleum masih tidak wujud.
Berikut adalah lima huraian mengapa kerajaan mesti mengembalikan royalti kepada rakyat melalui kerajaan negeri:
(1) Pertama,
perjanjian yang telah ditandatangani antara Menteri-menteri Besar bagi
negeri-negeri di Semenanjung pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS
ketika itu, iaitu YM Tengku Razaleigh Hamzah adalah sah dan PETRONAS
adalah terikat kepada perjanjian ini.
Bagi
Negeri Terengganu, pemberian Royalti yang telah diberikan bermula 1978
sehinggalah ianya diubah kepada “Wang Ehsan” pada tahun tahun 2000.
Persoalannya, kenapa dulu dikenali sebagai Royalti dan kenapa sekarang
ianya dikenali sebagai Ehsan. Sedangkan berdasarkan kepada perjanjian,
dengan terang ianya ditakrifkan sebagai Royalti dan bukan Ehsan.
Bagi
negeri Kelantan, perjanjian telah ditandatangani antara Menteri Besar
ketika itu, Datuk Mohammad Nasir dengan Pengerusi PETRONAS. Perjanjian
ini telah mengikat kerajaan Persekutuan untuk memberi royalti kepada
kerajaan Kelantan sebanyak 5% setahun – dan dibayar tunai dua kali
setahun. Perjanjian ini tidak pernah dibatalkan.
(2) Kedua,
Akta Kemajuan Petroleum 1974 seksyen 4 telah menetapkan supaya
Perbadanan (PETRONAS) hendaklah membuat apa-apa pembayaran wang tunai
kepada kerajaan negeri sebagai balasan bagi pemunyaan dan hak bagi
negeri tersebut. Berasaskan peruntukan ini, penganugerahan wang tunai
kepada negeri-negeri yang perairannya mempunyai minyak telah dibuat
sejak dahulu.
(3) Ketiga, kenyataan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib bahawa negeri Kelantan dan Terengganu tidak layak untuk mendapat royalti petroleum kerana petroleum yang dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri-negeri ini (luar states territorial waters’ – ukuran melebihi tiga batu nautikal seperti dalam Akta Pelantan Benua 1966) adalah tidak relevan dalam konteks pengeluaran minyak dan pembayaran royalti ini.
Sebagai
contoh, perjanjian yang telah ditandatangi oleh Menteri Besar Kelantan
pada tahun 1975 dengan Pengerusi PETRONAS tidak menetapkan perkara ini
sebagai syarat. Malah, berdasarkan hansard soal jawab Parlimen bertarikh 12 November 1975, Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Razak ketika menjawab soalan di Parlimen menjelaskan bahawa mengikut
perjanjian, tiap-tiap negeri akan menerima 5% daripada nilai petroleum
yang dijumpai dan diperolehi di negeri masing-masing sama ada yang
diperolehi dalam kawasan perairan atau di luar perairan negeri tersebut.
Dari
segi sejarah, pembayaran royalti minyak kepada kerajaan Terengganu
telah dibuat walaupun pelantar cari gali minyaknya berada di luar dari
tiga batu nautika. Pelantar minyak negeri Terengganu terletak 220
kilometer di Perairan Laut China Selantan sedangkan pelantar minyak di
Kelantan terletak 170 kilometer di Zon Ekonomi Eksklusif yang diusahakan
antara Petronas dengan kerajaan Thailand di Laut China Selatan / Teluk
Siam.
(4) Keempat,
pembayaran yang sepatunya adalah royalti dan bukan wang ihsan.
Perjanjian pada 1975 itu menyebut pembayaran wang tunai dan bukan wang
ihsan. Wang ihsan dan royalti adalah berbeza kerana wang ihsan memberi
makna pemberian simpati sedang wang royalti adalah wang yang mesti
dibayar hasil daripada perjanjian dan perundingan yang telah
dipersetujui oleh kedua-dua pihak.
Wang
royalti hendaklah dibayar kepada kerajaan yang mentadbir secara sah di
sesebuah negeri berkenaan. Sebaliknya, pembayaran wang ihsan kepada
jabatan persekutuan yang beroperasi di negeri akan membuka peluang
kepada pembaziran, pertindihan dan penggunaan wang secara tidak optimum
kerana perancangan dan pembangunan untuk rakyat di negeri adalah
dipimpin oleh kerajaan negeri.
(5) Kelima, Kerajaan Persekutuan mestilah secara adil menegakkan konsep federalisme (Persekutuan) kepada semua negeri di
Malaysia. Konsep federalism menekankan kepentingan hubungan yang
harmoni dan berkesan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri setelah bidang kuasa kerajaan pusat dan kerajaan negeri ditetapkan dalam perlembagaan negara.
Dalam
amalan federalism, negeri yang berada dalam persekutuan diberikan kuasa
autonomi untuk membolehkan mereka mentadbir urus di bawah bidang kuasa
mereka dengan berkesan. Melalui perhubungan yang jelas, baik dan
terjamin inilah pembangunan untuk kepentingan rakyat dapat diusahakan
dengan berkesan.
Dalam
konteks ini, pemberian wang royalti oleh Kerajaan Persekutuan kepada
kerajaan negeri adalah bukti penegakan konsep federalism kerana kerajaan
negeri berhak untuk merancang dan menentukan penggunaan wang royalti untuk kepentingan rakyat negeri berdasarkan bidang kuasa negeri.
Dengan
ini, hujah pihak yang menolak pembayaran royalti iaitu minyak yang
dikeluarkan adalah dari luar kawasan perairan negeri; negeri hanya layak
menuntut jika minyak ditemui dalam jarak tiga nautikal serta negeri
(seperti Kelantan) tidak layak menuntut royalti minyak daripada zon
ekonomi eksklusif kerana ia bukan negeri – adalah tidak dapat
dipertahankan.
Kesemua
fakta dan hujah di atas menunjukkan kerajaan Persekutuan tidak ada
pilihan melainkan membayar royalti kepada kerajaan negeri yang berkenaan
yang seharusnya menggunakannya dengan sebaik-baik untuk pembangunan dan
kesejahteraan rakyat jelata.
Yang benar,
Dr Abdul Halim Bin Yusof
En Mohamad Fauzi Bin Abu Samah
Pengerusi Bersama
Gerakan Kembalikan Royalti Rakyat (GEGAR)
25 Disember 2009
Jerteh, Terengganu.
www.royaltirakyat.blogspot.com
No comments:
Post a Comment