Hab udara bagi timur laut Malaysia: Kesibukan
di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.
Foto: Muhd Aizat
Pengenalan:
Pertanyaan
berkenaan bilakah Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (KBR), Kota
Bharu, Kelantan, Malaysia akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan
terbang antarabangsa merupakan pertanyaan yang paling kerap ditanya oleh
sebilangan besar rakyat Kelantan berbanding projek-projek
infrastruktur lain seperti Lebuh Raya Pantai Timur Fasa III (Kuala
Terengganu - Kota Bharu - Pengkalan Kubor), Lebuh Raya Kota Bharu -
Kuala Krai (Lebuh Raya KBKK), Lebuh Raya Utama Tengah (CSE), Hospital
Bachok (HB), projek tebatan banjir Sungai Golok, dan Pelabuhan Tok Bali
(PTB).
Lokasi:
KBR terletak di
sebelah timur laut Malaysia (Semenanjung Malaysia) dan dua buah
lapangan terbang yang paling hampir dengannya ialah Lapangan Terbang
Narathiwat (NAW), Thailand dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala
Terengganu (TGG), Terengganu, Malaysia. KBR berfungsi sebagai salah satu
pintu keluar masuk utama Malaysia dari arah timur laut Malaysia.
Lapangan terbang ini terletak kira-kira lapan kilometer dari pusat
bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia melalui Jalan Tok Guru
(dahulunya dikenali sebagai Jalan Pengkalan Chepa).
Politik & Lapangan Terbang:
Cadangan
untuk menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan terbang
antarabangsa bukanlah satu cadangan baharu telah wujud sejak 1986 lagi
oleh Kerajaan Pusat. Proses pengambilan tanah ratusan hektar telah
dibuat oleh Kerajaan Pusat dalam tempoh Rancangan Malaysia Kelima (1986 -
1990) untuk menaik taraf lapangan terbang ini kepada sebuah lapangan
terbang antarabangsa. Walau bagaimanapun, rancangan tersebut tidak
diteruskan apabila parti yang menerajui Kerajaan Pusat, iaitu Barisan
Nasional (parti UMNO sebagai komponen utama) gagal mempertahankan kuasa
bagi peringkat kerajaan negeri di Kelantan sejak 1990 sehingga sekarang.
Menurut Kementerian Pengangkutan Malaysia, di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9: 2006 - 2010), landasan KBR sepatutnya dipanjangkan dari 1,981 meter kepada 3,200 meter dan bukannya setakat 2,400 meter seperti yang dilaksanakan pada penghujung penggal RMK-9 tersebut.
Menurut
Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan tanggungjawab dalam hal
ehwal penerbangan yang merangkumi penerbangan awam, pembangunan lapangan
terbang, perlesenan, dan sebagainya berada di bawah tanggungjawab dan
peranan Kerajaan Pusat tanpa mengambil kira pihak yang menerajui
sesebuah negeri itu berlainan dengan pihak yang menerajui Kerajaan Pusat.
UMNO Kelantan telah menjadikan cadangan untuk menaik taraf KBR kepada
sebuah lapangan terbang antarabangsa sebagai umpan untuk memancing undi
rakyat Kelantan sedangkan UMNO dan Barisan Nasional tidak pernah kalah
di peringkat Kerajaan Pusat. Secara logiknya, mereka perlu meneruskan
projek ini tanpa sebarang alasan kerana projek ini memang di bawah
tanggungjawab Kerajaan Pusat.
Kerajaan Negeri Kelantan
walaupun pihak mana yang menerajuinya tidak mempunyai apa-apa kuasa atau
mengambil tindakan untuk menaik taraf lapangan terbang ini kecuali bagi
proses pengambilan tanah untuk pembesaran dan naik taraf lapangan
terbang. Dengan kata lain, Kerajaan Negeri Kelantan tidak mempunyai
kuasa dari segi pelaksanaan projek naik taraf lapangan terbang. Paling
mengejutkan apabila orang yang pernah mengaku di dalam Dewan Undangan
Negeri Kelantan (DUN Kelantan) bahawa Kerajaan Pusat menyekat bantuan
untuk rakyat dan Kerajaan Negeri Kelantan (Sila klik http://www.youtube.com/watch?v=MAhddRgwHeU),
orang itu jugalah berkata bahawa projek naik taraf lapangan terbang ini
kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa akan dimulakan sebaik
sahaja UMNO Kelantan berjaya mengalahkan PAS bagi menerajui Kerajaan
Negeri Kelantan nanti melalui Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRUK-13). Po ciss!
Kesimpulannya pihak yang menerajui Kerajaan Pusat pada ketika ini, iaitu UMNO (termasuk UMNO Kelantan) tidak bertanggungjawab (mati
seksok, jawab dalam kubur kerana tidak berlaku adil kepada semua
rakyat) dan sengaja melengah-lengahkan projek ini dan dalam masa yang
sama mereka mendabik dada sebagai pembela rakyat Kelantan dengan
mengatakan rakyat Kelantan tidak pernah dianaktirikan oleh Kerajaan
Pusat. Secara realitinya dalam kehidupan sebuah keluarga campuran,
sebagai anak tiri memang kita dapat makan juga masakan emak tiri tetapi
dalam bab-bab kasih sayang, mungkin emak tiri kita lebih sayangkan
adik-beradik tiri kita. Jika setakat bagi peruntukan sekian-sekian
jumlahnya tetapi negeri-negeri lain mendapat peruntukan lagi besar
walaupun negeri tersebut tidak memerlukan peruntukan sebesar itu, itu
namanya tidak menganaktirikan?
Keperluan Naik Taraf Lapangan Terbang:
KBR
berjaya mencatatkan jumlah pengendalian penumpang melebihi 1,000,000
penumpang setahun sejak 2009 dan jumlah pengendalian penumpang bertambah
dengan begitu ketara setiap tahun sehingga 'memaksa' syarikat
penerbangan terutamanya Firefly dan AirAsia menambah kekerapan
penerbangan serta memperkenalkan laluan baharu terutamanya
laluan Kota Bharu - Johor Bahru (mulai 26 April 2012) dan laluan Kota
Bharu - Singapura (mulai 10 Ogos 2012). Berikut merupakan
komponen-komponen naik taraf lapangan terbang ini mengikut keutamaan
(Nota: No. 1 paling utama dan seterusnya):-
- Landasan perlu dipanjangkan dan dilebarkan dari 2,400 meter x 45 meter kepada 3,500 meter x 60 meter
bagi mengendalikan pesawat lebih besar terutamanya A330-300, B777-200,
dan B747-400 sekali gus dapat mengadakan penerbangan haji terus ke
Jeddah dan Madinah sepertimana yang disarankan oleh KDYMM Tuanku
Muhammad V baru-baru ini semasa sambutan hari keputeraan rasmi baginda
(11 - 12 November 2012).
- Pembesaran bangunan terminal sedia ada
untuk keselesaan pengguna lapangan terbang. Tapak dan bangunan terminal
lama boleh dirobohkan untuk memberi laluan kepada projek pembesaran
terminal. Keluasan terminal sedia ada adalah 12,000 meter persegi.
- Menara
kawalan baharu yang lebih tinggi di tapak balai bomba lapangan terbang
yang sedia ada sekarang. Manakala balai bomba lapangan terbang boleh
dipindahkan ke kawasan radar lapangan terbang ini atau dengan kata lain
di seberang landasan berhampiran Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan
(PUTIK).
Bilakah ia akan dinaik taraf kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa?
Jawapannya lambat lagi selagi UMNO dan Barisan Nasional masih menerajui
Kerajaan Pusat. Hal ini kerana walaupun mereka sekarang berkuasa di
peringkat Kerajaan Pusat, mereka tidak mahu menaik taraf lapangan
terbang ini kepada sebuah lapangan terbang antarabangsa sedangkan
perkara ini memang tanggungjawab Kerajaan Pusat. Jadi, rakyat perlu
memberi peluang kepada orang lain pula untuk menerajui Kerajaan Pusat
nanti.
Syarikat penerbangan manakah yang beroperasi di lapangan terbang ini?
- AirAsia (www.airasia.com): Laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur.
- Firefly (www.fireflyz.com.my): Laluan Kota Bharu - Singapura, Kota Bharu - Subang, Kota Bharu - Pulau Pinang, dan Kota Bharu - Johor Bahru.
- Penerbangan Malaysia (www.malaysiaairlines.com): Laluan Kota Bharu - Kuala Lumpur.
#Nota ini ditulis oleh Ketua Pentadbir KBBRI, Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan, Malaysia